17 JUL : Sistem Alamat Nasional (NAS) yang dibangun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dikenal pasti sebagai salah satu pemacu utama dalam menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi digital yang lebih menyeluruh dan berdaya saing.
Komunikasi Korporat MCMC melalui satu kenyataan berkata NAS juga berpotensi menjadi satu asas kepada pembangunan bandar pintar serta membolehkan pelaksana sistem-sistem pintar seperti pengangkutan awam bersepadu, pengurusan tenaga yang cekap dan pelbagai perkidmatan automasi yang lain.
“Malaysia dianggarkan mempunyai lebih 12 juta alamat, namun masih tiada pangkalan data nasional yang seragam. Ketidakseragaman data ini menjejaskan kecekapan perkhidmatan dan operasi, perancangan polisi, tindak balas kecemasan dan membawa kepada kebergantungan kepada teknologi luar.
“Sistem ini dijangka membawa pelbagai manfaat nyata kepada rakyat, memperkukuh sektor-sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, logistik dan perkhidmatan kurier. Dengan penggunaan alamat dan lokasi koordinat yang tepat bagi setiap destinasi, penghantaran dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, efisien serta mengurangkan risiko kesilapan penghantaran,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Persidangan anjuran Kementerian Komunikasi melalui MCMC itu berlangsung selama dua hari bermula semalam.
Disertai lebih 500 orang terdiri daripada sektor kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil, persidangan ini menjadi landasan penting ke arah pelaksanaan menyeluruh Sistem Alamat Nasional (NAS) di negara ini, memberi fokus kepada dasar strategik dan amalan terbaik global dalam tadbir urus pengalamatan.
Selain sesi panel pakar dan pembentangan teknikal, turut dianjurkan pameran interaktif, sesi jaringan antara agensi dan perbincangan kolaboratif yang menyumbang kepada hala tuju bersama bagi masa depan pengurusan alamat di Malaysia.
NAS menjadi platform untuk memulakan wacana peringkat nasional mengenai dasar, sistem dan tadbir urus berkaitan alamat di Malaysia, memperkukuh pengurusan alamat secara bersepadu di seluruh negara selain mengenal pasti penyelesaian inovatif berkaitan pengurusan alamat.
*FOTO : FACEBOOK FAHMI FADZIL
*OLEH : HANUM RAJAK