22 JUL : Perdana Menteri tidak menolak ketegasan Malaysia dalam mempertahankan Gaza, Palestin menyebabkan negara menjadi sasaran kehadiran ejen Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel iaitu Mossad.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri mengambil langkah tambahan dalam meningkatkan tahap keselamatan negara.
“Badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenal pasti. Taklimat terbaru diberi badan perisikan Malaysia.
“Memang mereka ambil berat betul soal ini terutama setelah terbukti bukan saja kehadiran mereka tetapi menggunakan pasangan suami isteri Melayu sebagai sama ada ejen ataupun yang bekerjasama dengan Mossad,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata teknologi mereka yang cukup canggih menyebabkan mereka berjaya membolosi negara ini dan keluar sebelum dapat dikenal pasti.
Malah kata Anwar, ejen itu juga sanggup menggunakan orang tempatan yang kini berjaya dicekup.
“Paling akhir ialah kes di mana pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang terjadi bersekongkol dengan ejen dipercayai Mossad, menyeludup senjata dari Thailand dan kemudian ditangkap dan sekarang ini ditahan di penjara,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) yang mahu tahu usaha dilakukan kerajaan dalam meningkatkan aspek keselamatan susulan beberapa insiden yang dikaitkan dengan ejen Mossad.
Dalam soalannya, Wan Ahmad Fayhsal mengambil contoh kes pembunuhan pensyarah universiti warga Palestin yang dipercayai didalangi Mossad.
Beliau sempat membangkitkan isu kerosakan sistem pintu automatik di pintu masuk negara yang berisiko mengancam keselamatan negara.
Namun Anwar berkata isu sistem itu terkait dengan badan antarabangsa termasuk Polis Antarabangsa (INTERPOL) yang perlu ditingkatkan keupayaannya.
“Setakat ini ia sudahpun dapat diselesaikan,” katanya.