Pertikai SARA RM100, pembangkang tak faham konteks

24 JUL : Tindakan pembangkang yang mempertikai pemberian RM100 secara ‘one off’ disifatkan sebagai tidak faham konteks inisiatif tersebut.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata bantuan itu di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan terutama untuk golongan berpendapatan rendah di luar bandar.
“Semalam saya umumkan beberapa langkah tambahan, tak apalah singgung, politik itu tak apa lah. RM100 sahaja, iya lah…kamu gaji RM20,000 sebulan…RM40,000 sebulan. RM100 tak ada apa-apa tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung, ada. Ini tambahan. Kalau tengah dengar beberapa ahli Parlimen pembangkang di Parlimen, RM100 je? RM100 je, dia tak baca ke?
“Bila saya sebut rabun mata dia marah, baru ini tambahan dari RM13 bilion jadi RM15 bilion untuk tahun ini untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bulan Julai 2025, hari ini.
Jelasnya, inisiatif yang diumumkan itu merupakan penambahan kepada pelbagai bantuan lain yang sudah dilaksanakan kerajaan.
Menyentuh soal penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99, Menteri Kewangan itu berkata ia satu langkah yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Jelasnya, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan rasional harga minyak global.
“Begitu juga dengan penurunan harga minyak, itu mesti saya buatlah. Walaupun masa kita bincang soal harga turun harga minyak, saya dah beritahu ada rasional semasa minyak di Arab Saudi 50 sen.
“Sekarang minyak di Arab Saudi RM1.99 atau RM2. Walau bagaimanapun, kita turun juga dan kita katakan untuk orang asing, kena ikut harga pasaranlah. Itu kita akan tetapkan kemudian,” katanya.
Semalam, Anwar mengumumkan lima ikhtiar segera dalam membantu rakyat menangani beban kos sara hidup termasuk pemberian SARA sebanyak RM100 itu kepada semua rakyat dewasa berumur 18 tahun.
Turut diumumkan, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, peruntukan RM600 juta bagi meluaskan program Jualan Rahmah, pengekalan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya utama serta mengisytiharkan cuti umum khas pada 15 September ini sempena Hari Malaysia.