Turun 6 sen : PM kaji implikasi berhari-hari sebelum umum

25 JUL : Penurunan harga minyak RON95 sebanyak 6 sen yang diumum pada Rabu dilihat sebagai satu nilai yang kecil namun ia bukan keputusan mudah susulan implikasi kewangan yang perlu ditanggung kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menangguh pengumuman itu beberapa kali bagi mengkaji pelbagai implikasi terhadap keputusan itu.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sudah menanggung subsidi RON95 sebelum ini bagi memastikan rakyat menikmati RM2.05 seliter.
“Bukan mudah untuk saya turunkan harga minyak kepada RM1.99…ya memang negara seperti Thailand, Singapura sudah turun terlebih dahulu. Tetapi tengok pula harga minyak Thailand, Singapura, Indonesia dan Filipina berapa. Kita jauh lebih rendah dan kita rendahkan untuk rakyat Malaysia.
“Tak ada langsung syukur, tak setujudalam banyak perkara tidak apa tetapi yang betul, kita buat bukan mudah…sebab itu ambil masa kira berhari-hari berapa belanjanya, berapa implikasi kewangannya.
“Tetapi ada yang kata sedikit bezanya enam sen, dia tak dengar penerangan kita, bukan enam sen. Harga minyak dalam pasaran ketika ini, lebih RM2.50 sen, sebelum ini RM2.05 itu kerajaan terpaksa beri subsidi, jadi kita bagi subsidi kira-kira 50 sen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Peringatan Hari Antidadah 2025 di Jitra, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penurunan harga yang diumumkan itu hanya untuk rakyat Malaysia bukan warga asing susulan mereka tidak membayar cukai kepada kerajaan.
“Untuk orang asing kita tak bagi dana subsidi. Mengapa nak (bagi) subsidi kepada orang asing yang tak bayar cukai, mengapa nak (bagi) subsidi syarikat asing, rakyat asing yang datang ratusan ribu setiap minggu ke negara ini.
“Saya pelik bila ada pembangkang cakap kenapa bebankan warga asing, mereka pun bagi sumbangan kepada negara. Saya tak faham di dunia mana orang asing itu diberi layanan sama dengan warganegara?” katanya.
Selain itu, Anwar juga menyentuh pertikaian yang dibuat terhadap pemberian RM100 di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada semua rakyat berusia 18 tahun ke atas.
“Pemberian RM100 merupakan tambahan daripada peruntukan RM13 bilion kepada RM15 bilion…suami, isteri akan dapat seorang RM100, kalau ada anak umur 18 tahun dapat lagi,” katanya.
Menyentuh soal penangguhan kenaikan kadar tol yang sepatutnya berlaku tahun ini mengikut perjanjian, Anwar berkata kerajaan terpaksa menanggung implikasi kewangan sehingga RM500 juta.
“Kalau ikut perjanjian, tol mesti naik tahun ini…bukan saya buat perjanjian itu, (kerajaan) yang dulu yang buat perjanjian.
“Kalau kerajaan tak naik, kerajaan kena bayar tapi kerajaan tak naik sebab ia akan bebankan rakyat, jadi tidak mahu ucap terima kasih pun janganlah kutuk saya,” katanya.
