26 JUL : Mana-mana penjawat awam dinasihat agar tidak menyertai Himpunan Turun Anwar yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata penyertaan dalam himpunan seumpama itu melanggar tata kelakukan dan disiplin penjawat awam.
“Kami telah pn keluarkan kenyataan media baru-baru ini berkait penjawat awam untuk tidak menyertai perhimpunan seperti ini. Iany melanggar tata kelakuan dan juga disiplin pegawai-pegawai awam kita.
Sebab sepatutnya pegawai awam menunjukkan contoh atau teladan yang baik kepada negara. Jadi penglibatan pegawai-pegawai awam saya rasa tidak memberi manfaat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis perasmian Program Santuni MADANI Satu Pemimpin Satu Kampung Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulai Chondong, hari ini.
Menurutnya, hak berhimpun dan menyuarakan pendapat di negara ini ada batasnya.
“Saya percaya perkara ini telah disentuh oleh Perdana Menteri, kita tidak menyekat perhimpunan kerana ia adalah kebebasan dan hak individu tetapi ada batasnya.
“Saya telah jelaskan dalam kenyataan bahawa hak-hak berhimpun (dan) menyuarakan pendapat itu ada batasnya. Jadi kalau kita buat cara aman rasanya ia tidaklah memberi masalah,” katanya.
Himpunan ditunjangi PAS itu sedang berlangsung di Kuala Lumpur yang dikawal pihak berkuasa.
Polis melalui satu kenyataan media memaklumkan pihaknya menjadi pemudah cara dalam memastikan himpunan itu berjalan lancar.