26 JUL : Pusat Respon Penipuan Kebangsaan (NSRC) akan beroperasi 24 jam mulai September ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata dengan NSRC kini di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM), mangsa tidak perlu lagi ke balai polis untuk membuat laporan.
“Dulu kita selalu galakkan mangsa scam untuk hubungi 997, tetapi pada waktu itu selepas menghubungi 997 mangsa masih perlu ke balai polis untuk buat laporan. Sekarang 997 ataupun NSRC diambil alih PDRM sepenuhnya.
“Maksudnya, apabila seseorang mangsa hubungi 997 akan diambil sebagai laporan dengan polis. Jadi mangsa tidak perlu pergi ke balai polis dan menjimatkan masa.
“Pada September ini, NSRC hotline 997 akan beroperasi 24 jam sehari. Ketika ini mereka hanya beroperasi 12 jam sehari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.
“Jadi tidak kiralah bila seseorang itu sedar menjadi mangsa scam mungkin jam 9 atau 11 malam juga masih boleh hubungi 997,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan projek pembinaan longkang konkrit bagi mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Melayu Bukit Batu, hari ini.
Selain itu, Nie Ching berkata iklan penipuan di media sosial yang berjaya dikesan semakin meningkat dengan 46,817 direkod setakat 15 Julai lalu.
Katanya, 80 peratus iklan tersebut dikesan di Facebook dan rekod menunjukkan 6,297 iklan bersifat penipuan diturunkan pada 2023 di semua platform media sosial.
“Tahun lalu kami sudah menurunkan 63,652 hantaran bersifat penipuan di sosial media. Pada tahun ini sehingga 15 Julai lalu, sebanyak 46,817 iklan penipuan diturunkan. Jadi kita memang boleh nampak bahawa angka ini semakin meningkat.
“Saya sendiri juga menjadi mangsa yang mana gambar saya diguna pakai oleh scammer. Mereka membuat iklan pemberian buku secara percuma oleh Mantan Menteri Pendidikan pada minggu lalu. Iklan ini sudah diturunkan tetapi terdapat pemilik akaun lain menaikkan iklan yang sama.
“Selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menurunkan iklan penipuan gambar saya, saya lihat ada enam akaun lain naikkan iklan palsu yang sama,” katanya.