Islamofobia berleluasa kerana gagal bina pemahaman antara masyarakat
8 OGOS : Islamofobia yang terus berleluasa di seluruh dunia susulan kegagalan membina pemahaman antara masyarakat yang berbeza latar belakang dan agama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan kebimbangan sentimen itu dijadikan agenda sesetengah kerajaan atau parti politik yang berhaluan kanan.
“Kita boleh memilih untuk menjerit, memaki atau mengutuk tetapi di Malaysia, kita memilih untuk bertindak mengikut ajaran Islam melalui dialog, ilmu dan kefahaman.
“Yang menyebabkan kita mengangkatnya ke mercu lebih tinggi ialah cara umat Islam menjawab cabaran dengan hikmah, bukan dengan cercaan atau tindakan balas sembrono.
“Kita hasilkan terjemahan al-Quran dan edarkan di banyak tempat sebagai jawapan yang lebih bermakna,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Percetakan Al-Quran dan Terjemahan Bahasa ke 30 (Bahasa Rusia) serta Peluncuran Mushaf Ummah Al-Jami’, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata pengedaran al-Quran itu selaras dengan semangat Islam yang menekankan soal penyebaran dan pemahaman ilmu dalam usaha membanteras prejudis terhadap agama.
Pada majlis sama, Anwar turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk penghasilan Mushaf Ummah al-Jami’ dengan kerjasama ilmiah oleh pakar qiraat dari seluruh dunia.
Penerbitan itu kelak bakal meletakkan Malaysia antara negara pertama di dunia yang secara rasmi menerbitkan mushaf sedemikian sebagai rujukan dunia Islam.
