Tiada rundingan dengan pembunuh di Gaza hingga dihentikan
8 OGOS : Malaysia kekal berpendirian tiada rundingan dengan penceroboh dan pembunuh di Gaza dan Palestin sehingga keganasan dihentikan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak mungkin rundingan berlaku ketika pembunuhan masih berlaku.
“Pendirian kita jelas, hentikan keganasan, hentikan genosid, hentikan pembunuhan, hentikan penjajahan ke atas Gaza dan Palestin. Tiada rundingan sebelum itu.
“Mana boleh kita runding dengan orang yang bunuh hari-hari, dia datang rumah saya rampas bunuh anak isteri saya kemudian kata boleh tak kita runding nak ikhtiar, tidak mungkin itu berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas solat Jumaat di Kompleks Nasyrul Quran, hari ini.
Terdahulu, Malaysia menyokong usaha The Hague Group mencari penyelesaian jangka panjang terhadap kekejaman di Gaza.
Namun Malaysia tetap berhati-hati terhadap prasyarat dan kandungan Deklarasi New York yang sedang dibahaskan di peringkat antarabangsa.
Anwar ketika diminta mengulas tentang keputusan Kabinet Israel yang meluluskan pelan untuk mengambil alih Bandaraya Gaza, Anwar berkata kekejaman rejim itu terhadap Palestin paling teruk berlaku yang turut membunuh kanak-kanak.
Anwar sempat merayu agar pemimpin dunia terutama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menghentikan pembunuhan yang berlaku di Palestin.
“Malaysia kekal konsisten dalam mengecam kekejaman ini dan kita merayu secara terbuka kepada semua pemimpin dunia.
“Presiden, Perdana Menteri, termasuk Presiden Donald Trump supaya sekurang-kurangnya menghentikan pembunuhan ini kerana beliau masih mempunyai pengaruh. Jika beliau mampu menghentikan pembunuhan ini, dunia akan menghormatinya dan mengiktiraf sumbangannya.
“Beliau pernah menyokong usaha kita untuk mencapai keamanan antara Kemboja dan Thailand, dan kita percaya ia boleh dilakukan, asalkan ada keberanian, keazaman dan pendirian prinsip,” katanya.