26 OGOS : Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan kubur pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Syamsul Haris Shamsudin digali semula.
Hakim, Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membenarkan perkara itu bagi membolehkan bedah siasat kedua dilaksanakan dalam tempoh 14 hari.
Keputusan itu dibuat Hakim Bhupindar selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45.
Hakim ketika membaca keputusan itu berkata pihak Ketua Polis Negara selaku responden pertama akan menyelia proses penggalian berkenaan.
Ummu membuat permohonan itu untuk mengetahui punca sebenar kematian anak sulungnya.
Allahyarham Syamsul Haris, 22 dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
Jasadnya kemudian dikebumikan keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.
Media sebelum ini melaporkan hasil siasatan mendapati kematian Allahyarham tiada sebarang unsur penderaan
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga mengesahkan siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.