6 SEPT : Modus operandi terbaharu sindiket penyebaran SMS palsu yang beroperasi secara mudah alih
berjaya dibongkarkan dalam satu operasi, baru-baru ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan dalam OP Pancing yang dijalankan dengan kerjasama strategik Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu, sindiket tersebut menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS).
“Berdasarkan aduan awam dan risikan, seorang individu ditahan semasa mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan yang diletak berhampiran sebuah pusat membeli belah utama di Kuala Lumpur.
“Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif,” kata MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut MCMC, ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut.
“Susulan tangkapan itu, pihak MCMC dengan bantuan PDRM telah menyerbu sebuah premis kediaman teres dua tingkat di Kota Kemuning Shah Alam yang dijadikan tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS,” menurut MCMC.
Selain itu, siasatan awal berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket di mana kelengkapan komunikasi Fake BTS tersebut sudah diubah suai untuk beroperasi secara mudah alih.
MCMC dan PDRM menyita keseluruhan 45 barangan yang dianggarkan nilai RM100,000 dan seorang individu dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum sebanyak satu RM1 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Kata MCMC, kes ini juga disiasat di bawah Peraturan 34(5) (c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang membawa hukuman denda maksimum sebanyak RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.