Ugutan bunuh PM, AMK lapor polis

12 SEPT : Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat dua laporan polis susulan video tular yang mengeluarkan ugutan bunuh terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ugutan itu dibuat semasa operasi pengosongan 37 unit rumah di Kampung Sungai Baru, semalam.
Ketua Penerangan AMK Kuala Lumpur, Mohammad Rais Hamda berkata laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 8 malam tadi.
Tegas Rais, pihaknya mengecam sekeras-kerasnya ugutan itu yang menjejaskan keharmonian negara.
“Kami berharap kertas siasatan akan dibuka dan pihak polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku berkenaan,” katanya.
Terdahulu, tular video di platform TikTok memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan terhadap Anwar dan mendakwa dirinya pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Superitenden Nuzulan Mohd Din mengesahkan menerima laporan berkenaan.
Katanya,kes akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman.