15 SEPT : Semua pihak diminta berwaspada terhadap e-mel berbaur ugutan yang dihantar menggunakan taktik ‘phishing’.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata notis peringatan juga dikeluarkan kepada wakil rakyat melalui Setiausaha Dewan Rakyat pagi tadi.
Menurutnya, usaha itu sebagai langkah berjaga-jaga, khususnya melibatkan e-mel yang mengandungi pautan atau kod QR.
“E-mel berkenaan dipercayai mengandungi elemen perisian hasad yang boleh menggodam peranti penerima sekiranya pautan diklik. Ia juga mungkin bersifat ‘phishing’ iaitu maklumat peribadi dan keselamatan boleh diceroboh.
“Setakat ini, dipercayai e-mel tersebut datang daripada sumber yang sama, menggunakan maklumat terbuka termasuk alamat rasmi dan gambar profil daripada laman sesawang Dewan Rakyat, Dewan Negara serta Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada wartawan Kwong Wah Yit Poh, Choo Kar Chun, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata siasatan polis siasatan berhubung jumlah ahli Parlimen yang menerima e-mel berkenaan.
Selain itu katanya, pihak Google juga diminta untuk membantu siasatan dalam kes tersebut.
Dalam pada itu, beliau menasihati semua pihak agar memperkukuh keselamatan siber masing-masing termasuk dengan menukar kata laluan sekurang-kurangnya sekali setahun serta mengaktifkan pengesahan dua faktor.
“Kita perlu sentiasa berwaspada dalam era Internet yang semakin pantas dan penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan. Penjenayah siber sentiasa mencari ruang untuk mengambil kesempatan.
“Jika terima pautan fail aplikasi (APK) tidak dikenali seperti jemputan perkahwinan, jangan sekali-kali membukanya kerana itu adalah taktik untuk menggodam peranti dan aplikasi mesej kita,” katanya.