18 SEPT : Kerajaan memberi jaminan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru kekal terjamin dan tidak akan diketepikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata setiap langkah pembangunan akan dilaksanakan dengan penuh hemah dan berpaksikan lunas undang-undang.
“Menjunjung titah DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah al-Haj, Sultan Selangor berhubung titah pandangan Baginda berkenaan sejarah, masa hadapan dan hala tuju pembangunan kawasan Kampong Bharu, Kuala Lumpur.
“Jabatan Wilayah Persekutuan menzahirkan komitmen bahawa kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu kekal terjamin dan tidak akan diketepikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.
Sultan Sharafuddin menitahkan agar isu di Kampung Baru itu dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.
Baginda juga bertitah tiada halangan sekiranya kawasan tersebut dibangunkan seiring dengan peredaran zaman, namun syarat-syaratnya harus jelas dan berpihak kepada orang Melayu.
Dalam pada itu, Dr Zaliha menegaskan sebarang usaha untuk mengganggu-gugat keharmonian masyarakat atau mempolitikkan isu itu adalah tidak wajar.
“Pendirian kerajaan adalah selari dengan titah Tuanku iaitu memastikan Kampung Baru kekal sebagai simbol kelangsungan maruah dan mengambil kira kepentingan orang Melayu di Kuala Lumpur,” katanya.
