22 SEPT : Penukaran cip MyKad yang rosak boleh dibuat secara percuma mulai esok hingga 7 Oktober depan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penukaran itu boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara.
Menurutnya, inisiatif itu dilaksanakan kerajaan bagi memastikan kelancaran penebusan subsidi RON95 melalui program BUDI95, hujung bulan ini.
“Berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan.
“Oleh yang demikian, penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September 2025 sehingga 7 Oktober 2025 ini dianggar akan melibatkan perbelanjaan kepada Kerajaan Madani sebanyak RM714,660.00 termasuk kos lain yang berkaitan.
“Ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan MADANI prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad dan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUDI95.
Katanya, Kerajaan MADANI berpegang teguh kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti, memastikan setiap rakyat Malaysia menerima manfaat yang dijanjikan tanpa ada yang tercicir.
Terdahulu, Anwar mengumumkan kerajaan menetapkan siling kelayakan 300 liter sebulan bagi RON95 kepada setiap rakyat Malaysia dengan harga subsidi RM1.99 seliter yang berkuat kuasa mulai 30 September melalui sistem BUDI95.