23 SEPT : Diplomat Iran yang hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York dilarang daripada membeli-belah dan membeli barangan mewah.
Larangan itu dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) sebagai tekanan kepada Iran.
“Amerika Syarikat mengambil tindakan minggu ini untuk mengenakan tekanan maksimum terhadap Iran dengan menyekat pergerakan delegasi mereka ke UNGA dan akses ke rangkaian pasar raya besar serta barangan mewah,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.
Larangand itu yang terbaharu dalam siri sekatan visa pentadbiran Donald Trump terhadap diplomat asing yang bertugas sebagai wakil di PBB.
Menurut Jabatan Negara AS, pergerakan delegasi Iran turut dihadkan di kawasan yang diperlukan bagi berulang-alik ke dan dari ibu pejabat PBB untuk menjalankan urusan rasmi mereka.
Sementara Pejabat Misi Luar Negara jabatan itu memutuskan keahlian diplomatik di rangkaian pasar raya besar dan keupayaan diplomat membeli barangan mewah termasuk jam tangan, barangan kemas, minyak wangi, tembakau dan kereta dianggap sebagai ‘faedah’ yang memerlukan kelulusan AS.
Selain itu, diplomat Iran di AS juga perlu mendapatkan kebenaran untuk membeli barangan bernilai lebih AS$1,000 dan kenderaan bernilai lebih AS$60,000.