PM jelaskan sebab kerajaan beri laluan lepasan UEC ke IPTA
16 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan platform sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan, hari ini untuk menjelaskan soal keputusan kerajaan yang bersetuju memberi laluan untuk pelajar aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menurut beliau, isu tersebut kembali menjadi perbahasan politik selepas kerajaan mengumumkan keputusan itu, kelmarin.
Namun, beliau melihat perlunya kita bersikap tolak ansur dalam perkara berkenaan.
Tegasnya, kerajaan memberi kelulusan dengan syarat pelajar tersebut lulus atau kepujian dalam subjek wajib iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah.
“Apabila kita luluskan peraturan ini, kita tetapkan syarat. Mesti lulus atau kepujian dalam BM, Sejarah untuk melayakkan mereka mendapat ruang untuk ke universiti. Ini terpakai untuk semua. Sekarang sekolah-sekolah antarabangsa, mahad tahfiz..kita beri syarat yang sama. Itu sebab kita buat keputusan.
“Tapi sekali lagi ia menjadi perbahasan politik. Dalam kehidupan kita ini mestilah ada semanagta tolak ansur. Yang kita tak boleh tolak ansur adalah bahasa. Mahu duduk di Malaysia penguasaan bahasa harus kekal, mahu jadi rakyat Malaysia mesti faham sejarah kita, perlembagaan Malaysia, sejarah lalu.
“Jadi inilah sebab akhirnya kita putuskan untuk letakkan syarat ini supaya sebahagian daripada mereka di kursus-kursus tertentu (Seperti) bahasa, perakaunan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis tersebut, hari ini.
Terdahulu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mengumumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC boleh mengikuti program tertentu di IPTA.
Bagi calon lepasan SMPC/UEC antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Anwar turut mendedahkan perubahan sikap wakil-wakil persatuan sekolah Cina ketika ini jika dibandingkan dengan 40 tahun lalu ketika beliau menjadi Menteri Pendidikan.
“Dalam beberapa pertemuan dengan saya (ketika itu), pemimpin-pemimpin guru tersebut enggan berbicara sepatah pun dalam bahasa Melayu.
“Saya bersabar dan mendengar, tetapi Ketua Pengarah Pendidikan ketika itu, Tan Sri Rahman Arshad berbisik kepada saya ‘Anwar, minta maaf, saya terpaksa meninggalkan sesi itu. Saya tidak tahan sikap sedemikian’.
“Saya mengerti kerana demikian pertembungan antara sekolah persendirian Cina dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Itu 40 tahun lalu. Pertemuan sekarang, semua warga-warga persatuan bercakap dalam Bahasa Melayu. Sekolah-sekolah Cina ini lebih 80 peratus yang mengambil SPM,” katanya.