Utamakan rakyat, PM ingatkan pemimpin PKR

26 SEPT : Pemimpin PKR diingatkan agar sentiasa mengutamakan rakyat dan tidak tamak membolot kekayaan.
Peringatan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Himpunan dan Temu Rapat Umum Sempena 27 Tahun Reformasi di Kota Kinabalu, hari ini.
“Saya kemudiannya bersama-sama para penggerak KEADILAN Sabah dalam Himpunan Temu Rapat Umum sempena 27 Tahun Reformasi.
“Dalam ucapan, saya menegaskan bahawa seorang pemimpin mesti sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. Jangan ada pemimpin yang tamak membolot kekayaan sehingga rakyat terbiar hidup melarat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Beliau yang juga Presiden PKR turut menyeru agar rakyat tidak lagi terperangkap dalam permainan sentimen perkauman atau perbezaan wilayah.
“Dari Perlis hingga ke Sabah, kita adalah sebuah keluarga besar. Kita wajib hidup dalam suasana aman, saling menjaga dan menghormati antara semua kaum serta masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan kuasa yang dipegangnya sebagai Perdana Menteri akan digunakan untuk mengurus negara dengan penuh integriti dan memperkukuh hubungan dengan setiap negeri.
Pada masa sama, beliau juga akan memastikan rakyat di seluruh pelosok tanah air benar-benar terbela.
“Inanam adalah kubu KEADILAN yang teguh di bawah kepimpinan ADUN sedia ada, saudara Peto Galim. Gerak kerja di sini mesti terus diperkukuh supaya rakyat sentiasa terbela.
“Jangan sekali-kali kita lalai daripada tanggungjawab yang telah diamanahkan,” katanya.
