28 SEPT : Semua pihak dinasihat berwaspada terhadap propaganda rejim Israel yang cuba mematahkan misi Global Sumud Flotila (GSF).
Perkara itu disuarakan Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil selepas mengadakan lawatan rasmi ke Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) di Gudang Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Sepang, hari ini.
“Kerajaan akan terus memantau keberadaan dan keselamatan 34 warga Malaysia yang turut serta,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu, beliau memaklumkan kapal misi GSF akan memasuki zon kuning dalam masa terdekat dan menghadapi risiko tinggi untuk dipintas tentera Israel
Kesemua 47 kapal misi itu disertai 34 rakyat Malaysia dan kini diteruskan selepas pelbagai cabaran dihadapi termasuk ancaman letupan rejim itu.
Dalam kenyataan sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata seluruh dunia sepatutnya mempertikaikan tindakan kejam rejim zionis terhadap misi GSF, baru-baru ini.
“Bagaimana mereka boleh sesuka hati menceroboh perairan antarabangsa, menghalang pergerakan kemanusiaan, sedangkan mereka tiada hak sama sekali?,” katanya.
Beliau turut menegaskan “walau ombak mengganas dan jalan berliku, doa seluruh rakyat Malaysia mengiringi peserta pelayaran Global Sumud Flotila yang kini menuju Gaza. Dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka!”.