Caj kereta masuk kota tidak sesuai dilaksana sekarang

29 SEPT : Caj terhadap kenderaan yang memasuki kawasan kota hanya boleh dilaksanakan selepas rangkaian sistem pengangkutan awam negara berada pada tahap baik dan menyeluruh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia masih tidak boleh dilaksanakan di Malaysia ketika ini kerana dilihat akan membebankan rakyat.
“Sesetengah negara mengenakan bayaran lain untuk masuk ke kota…kita tak cadangkan itu, sebab ia mungkin membebankan.
“Namun jika lingkaran pengangkutan awam adalah menyeluruh dan baik di kota besar, maka harus memikirkan perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majis perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG), hari ini.
Pada Februari lalu, kerajaan dilaporkan mengkaji keberkesanan caj kesesakan bagi mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di ibu negara.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata seluruh jentera kerajaan dan pihak berkaitan perlu mempercepat projek yang membabitkan kemudahan rakyat.
Tegasnya, kerajaan terpaksa menanggung kerugian jika projek-projek rakyat tertangguh seperti yang berlaku pada TBG.
“Ini bermakna dari segi kerangka kita dalam negara MADANI, perlu memperkasa struktur dan ketersediaan sambil memberi tumpuan semasa,” katanya.
TBG merupakan terminal moden bernilai RM307.4 juta yang menjadi hab pengangkutan darat utama menghubungkan bas ekspres, projek transit aliran ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya dan bakal berintegrasi dengan ECRL Gombak apabila siap kelak.