14 OKT : Kerajaan MADANI tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mengibarkan bendera Israel atau menzahirkan sokongan kepada rejim zionis di negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ia satu bentuk pengkhianatan yang jelas bercanggah dengan dasar negara.
Justeru itu, beliau yang juga Menteri Kewangan menyokong tindakan sewajarnya diambil pihak berkuasa terhadap pihak terlibat.
“Bersabit dengan berlaku beberapa kes sama ada tulisan Hebrew yang menyinggung perasaan rakyat dan bertentangan dengan dasar negara keseluruhan ini.
“Dasar yang merentas parti sekalipun, jadi dasar negara termasuk (kibar) bendera (Israel) walaupun apa matlamatnya itu adalah salah dan saya setuju supaya polis mengambil tindakan yang sewajarnya supaya menjadi pengajaran. Jangan (dibenarkan) berlaku.
“Mana ada negara di dunia, seperti mana dijajah? Orang yang angkat bendera ‘Union Jack’ itu kita anggap pengkhianat, sama juga dengan apa yang berlaku soal bendera (Israel),” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, sebuah bot mengibarkan bendera Israel semasa program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza pada Jumaat lalu di Sungai Kelantan.
Namun Pengarah program, Mohd Khairul Hafiz Hassan menjelaskan tindakan itu satu gimik lakonan semula kekejaman rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Sebelum ini juga, pemilik kenderaan pacuan empat roda tular selepas menampal pelekat tulisan Hebrew pada bahagian belakang kenderaannya.
Menurut polis, pesara kerajaan berusia 59 tahun itu mendakwa pelekat tulisan Hebrew yang membawa maksud ‘Malaysia Rumahku’ sudah ditampal pada sejak 2012.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim