Tiada kompromi soal disiplin, keselamatan pelajar di sekolah

15 OKT : Kerajaan bertegas tidak boleh berkompromi dalam soal disiplin dan keselamatan pelajar di sekolah.
Justeru itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jemaah menteri akan merangka langkah tegas dan berkesan bagi menangani isu itu.
“Kita akan adakan perjumpaan mengenai isu ini. Saya sudah komen mengenai sekolah terabit tetapi apabila kita lihat secara menyeluruh, hampir kesemuanya berbalik kepada telefon pintar, media sosial dan aplikasi.
“Jadi, mungkin hari ini atau esok saya akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri untuk membincangkan perkara ini…harus ambil tindakan tegas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulas insiden tragis melibatkan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditikam seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.
Dalam pada itu, Anwar berkata langkah tegas tetap perlu diambil meski langkah yang bakal diambil mungkin menimbulkan pelbagai reaksi.
“Harus ada ketegasan. Kita tidak boleh biarkan isu ini berlarutan kerana hampir semuanya berbalik kepada pengaruh media sosial,” katanya.
