Malaysia bakal wajibkan sah identiti untuk buka akaun media sosial
15 OKT : Semua platform media sosial di negara ini bakal diwajibkan membuat pengesahan identiti pengguna atau ‘electronic Know Your Customer’ (eKYC) bagi melindungi kanak-kanak di bawah umur 13 tahun daripada memiliki akaun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif kerajaan itu penting dalam menjamin keselamatan kanak-kanak di dalam talian
“Saya telah menyampaikan mesej yang jelas kepada wakil platform media sosial bulan lalu bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan mereka melaksanakan pengesahan identiti terutamanya bagi memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun.
“Jangka masa pelaksanaan yang tepat akan saya laporkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu, sebelum diumumkan kepada umum,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program NADI on Wheels (NOW) sempena Hari Bersama Komuniti (HBK) di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Pekan Sindumin, hari ini.
Sehubungan itu, Fahmi berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan syarikat-syarikat platform media sosial akan mengadakan pertemuan pada minggu hadapan.
Mengulas lanjut, Anwar berkata melalui inisiatif kerajaan itu, eKYC juga merupakah langkah proaktif untuk memerangi jenayah siber.
“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan penipuan.
“Angka yang dikongsikan semalam di Parlimen amat membimbangkan 78 peratus daripada semua kandungan scam yang diturunkan adalah daripada Facebook,” katanya.

Sementara itu, MCMC dalam satu kenyataan memaklumkan NOW yang dilancarkan itu merupakan komitmen kerajaan dalam memperluas keterhubungan serta memperkasakan komuniti luar bandar agar tidak tercicir daripada arus kemajuan negara selaras dengan semangat NADI untuk membawa kemajuan, ilmu dan keterhubungan ke setiap pelosok tanah air.
“NOW merupakan pusat bergerak yang direka untuk membawa kemudahan teknologi dan perkhidmatan berasaskan komuniti terus kepada rakyat khususnya di kawasan pedalaman yang sukar dicapai… kenderaan ini dilengkapi satelit Starlink berkelajuan hingga 250 MBps (megabait sesaat), komputer riba, tablet, projektor, tenaga solar mudah alih serta sistem Wi-Fi percuma.
“NOW turut menyediakan ruang interaktif bagi pelaksanaan aktiviti latihan, pembelajaran komuniti dan program Perkhidmatan Pintar NADI… melalui inisiatif ini, NOW berupaya menyantuni rumah anak yatim, golongan orang kurang upaya, masyarakat Orang Asli serta komuniti terpencil agar mereka juga dapat menikmati kemajuan teknologi,” menurut MCMC.