18 OKT : Penguatkuasaan bagi menangani penyebaran maklumat palsu perlu diperkukuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, berkata pihaknya sudah menerima aduan berkait gambar dan poster palsu yang disebar meski PRN itu hanya akan bermula bulan depan.
Justeru itu, Fahmi mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memandangkan SPR hanya boleh bertindak ketika musim pilihan raya kelak.
“Sekarang pun ada aduan mengenai gambar, poster palsu calon-calon yang telah mula tersebar dan kita tahu SPR hanya boleh ambil tindakan dalam tempoh pilihan raya tetapi maklumat yang salah sekiranya berlegar terlalu lama itu akan mendatangkan pelbagai masalah dan kita risau sebaran maklumat palsu, berita palsu itu boleh menukar sikap (pengundi).
“Jadi tindakan tegas perlu diambil…kita akan pastikan pihak SPR dan PDRM terutamanya, bukan untuk mana-mana parti, ada laluan khas (special lane) untuk tindakan pantas diambil terutama oleh platform-platform media sosial yang paling kerap digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Kecemerlangan SPM Anak Pantai 2025, hari ini.
Pada masa sama, satu pertemuan bersama penyedia platform media sosial juga akan diadakan minggu hadapan dalam memastikan tindakan pantas dapat diambil terhadap kandungan palsu.
Tegasnya, langkah itu bukan untuk semata-mata demi kepentingan mana-mana parti politik namun ia demi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan adil kepada semua pihak.