Had umur 16 tahun tanda kematangan pengguna media sosial
20 OKT : Penetapan umur minimum 16 tahun untuk membuka akaun media sosial wajar dijadikan penanda aras baharu kerana ia mencerminkan tahap kematangan yang diiktiraf dalam pelbagai peruntukan undang-undang negara.
Menurut pakar undang-undang, Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal had umur 16 tahun bukan sekadar angka, sebaliknya mencerminkan tahap kestabilan emosi, kebolehan menilai risiko dan keupayaan memahami tanggungjawab, lebih-lebih lagi bagi menghadapi cabaran dunia digital masa kini.
“Pada umur 16 tahun, remaja menunjukkan tahap kematangan dan tanggungjawab yang lebih stabil… mengikut undang-undang, umur minimum untuk berkahwin bagi bukan Islam juga ialah 16 tahun dan bagi beragama Islam pula perlu mengemukakan permohonan, maka wajarlah ia dijadikan sempadan bagi penggunaan media sosial.

“Ia juga langkah yang wajar kerana pada ketika ini, banyak perkara boleh berlaku tanpa kawalan…telefon bimbit sepatutnya digunakan untuk belajar dan mencari maklumat, bukan untuk perkara yang boleh mengganggu tumpuan atau membawa pengaruh negatif,” katanya kepada BBCPORTAL.
Terdahulu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil memaklumkan kerajaan bersetuju secara dasar untuk menaikkan had umur pengguna media sosial kepada 16 tahun.
Fahmi berkata semua platform media sosial di Malaysia bakal diwajibkan melaksanakan sistem pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan garis panduan komuniti dikuat kuasa dan melindungi golongan kanak-kanak.
Dalam pada itu, Aziah berkata had umur 16 tahun juga melengkapkan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 yang memperkukuh kuasa kerajaan dalam mengawal kandungan digital dan menuntut akauntabiliti penyedia platform media sosial.
Selain itu, beliau berkata antara peruntukan penting dalam akta itu juga termasuk larangan kepada kanak-kanak bawah 13 tahun daripada membuka akaun media sosial serta kewajipan penyedia platform melaksanakan sistem pengesahan identiti dan umur pengguna.
“Sebelum ini, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 agak terhad dari segi tindakan…dengan akta baharu ini, kerajaan boleh mengenakan tanggungjawab undang-undang ke atas penyedia platform yang membenarkan kandungan lucah, buli siber atau eksploitasi kanak-kanak.
“Kita perlukan sistem yang memastikan akaun hanya dibuka oleh individu yang sah…jika berlaku kesalahan, pelaku boleh dikenal pasti dengan jelas dan tindakan undang-undang dapat diambil segera,” katanya.
Selain itu, Aziah juga menegaskan penguatkuasaan undang-undang perlu seiring dengan tanggungjawab ibu bapa dalam memantau penggunaan telefon dan internet anak-anak.
Justeru itu, beliau turut mencadangkan agar pendidikan literasi digital dan kesedaran undang-undang siber diperkenalkan di sekolah bagi membentuk kefahaman awal tentang keselamatan dalam talian.
“Jika anak sudah memiliki telefon, ibu bapa perlu menetapkan peraturan kerana ia bukan sekadar soal disiplin, tetapi juga tanggungjawab undang-undang untuk melindungi mereka daripada risiko digital.
“Selepas pandemik COVID-19, penggunaan telefon untuk kelas dalam talian juga sudah tidak penting…jadi, mengehadkan akses media sosial kepada bawah umur bukan sekadar langkah disiplin, tetapi juga perlindungan undang-undang untuk keselamatan dan kebajikan kanak-kanak,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL