23 OKT : Polis menggesa himpunan bagi menyatakan bantahan terhadap kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia dibatalkan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata ia bagi menjaga imej negara dan keselamatan delegasi antarabangsa yang hadir ke negara ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Menurut beliau, tempoh penganjuran itu tidak bersesuaian memandangkan keutamaan kini diberi kepada aspek keselamatan dan protokol negara.
“Polis menasihati supaya perhimpunan itu tidak diteruskan kerana kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur diklasifikasikan sebagai zon kawalan keselamatan dan menjadi tumpuan utama delegasi luar negara.
“Penganjuran seperti itu tidak sesuai ketika Malaysia menjadi tuan rumah kerana boleh menjejaskan imej negara serta mengganggu kelancaran sidang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau raptai delegasi sempena persidangan itu, hari ini.
Kata Mohd Khalid, pihaknya mencadangkan agar penganjur menukar lokasi himpunan ke kawasan lebih sesuai.
“PDRM menasihatkan supaya ia tidak diadakan di kawasan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Sekiranya mereka masih berhasrat untuk berhimpun, kita mencadangkan supaya lokasi dialihkan ke kawasan lebih sesuai seperti Padang Merbok.
“Kita bukan menghalang hak berhimpun, tetapi meminta kerjasama semua pihak supaya tidak mengadakan sebarang perhimpunan sepanjang minggu Sidang Kemuncak ASEAN berlangsung,” katanya.