2 NOV : Parti Bersama Malaysia (Bersama) menggariskan beberapa agenda utama menerusi manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, merangkumi kemampanan kewangan negeri, kepelbagaian ekonomi, kesiapsiagaan menghadapi perubahan iklim dan reformasi sistem demokrasi.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, antara sasaran ditetapkan ialah meningkatkan hasil kerajaan negeri sebanyak 5 peratus berbanding pertambahan perbelanjaan yang disasarkan pada kadar 3 peratus bagi memastikan kedudukan kewangan lebih mampan.
Menurutnya, Bersama turut mencadangkan supaya pertumbuhan ekonomi negeri tidak lagi terlalu bergantung kepada sektor hartanah sebagai sumber hasil utama.
Sebaliknya, parti itu mahu memberi tumpuan kepada empat bidang ekonomi sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri.
“Pertumbuhan ekonomi tidak lagi bergantung kepada sektor hartanah sebagai punca hasil terbesar kerajaan negeri dan untuk itu kita mencadangkan sekiranya Bersama menubuhkan kerajaan menumpu empat bidang ekonomi.
“Bidang tersebut adalah perkilangan termaju antara industri aeroangkasa, pemakanan, semikonduktor selain pelancongan berasaskan kesihatan serta ekonomi biru yang menskalakan industri marin termasuk penjanaan tenaga biru,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran manifesto bertemakan ‘Dulu Kancil Pilih Melaka, Kini Melaka Pilih Kancil’ di Hang Tuah Jaya, hari ini.
Bagi aspek kesiapsiagaan menghadapi bencana, Rafizi berkata, Bersama turut mengemukakan Pelan Infrastruktur Melaka 2050 (PIM2050) sebagai langkah mempersiapkan negeri itu menghadapi ancaman bencana.
Dalam agenda Reformasi Sistem Demokrasi pula, parti itu mencadangkan pelaksanaan sistem perwakilan berkadar bagi mengisi tujuh kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan yang diluluskan di Melaka.
“Tujuh ADUN tambahan akan dilantik secara automatik berdasarkan jumlah peratusan undi dimenangi dalam PRN oleh parti-parti bertanding.
“Kerusi berkenaan akan diagihkan berdasarkan peratusan undi popular dan bukan diberikan sepenuhnya kepada parti yang membentuk kerajaan negeri,” katanya.
Sementara itu, menerusi agenda Pengukuhan Program Ekonomi Sosioekonomi Rakyat, Ahli Parlimen Pandan itu berkata, lima inisiatif turut digariskan termasuk cadangan menyalurkan sekurang-kurangnya 30 peratus perbelanjaan kerajaan negeri secara langsung kepada program sosioekonomi rakyat.
Antara cadangan lain ialah pelaksanaan Dasar Peluang Setempat yang mewajibkan penilaian impak sosial lebih menyeluruh sebelum sesuatu projek pembangunan diluluskan, termasuk penyediaan pelan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Dalam sektor pendidikan, Bersama mencadangkan program Kerjasama Peningkatan Sekolah Melaka menerusi pembentukan 70 kelompok sekolah yang masing-masing menggabungkan empat hingga lima sekolah.
Setiap kelompok akan menerima Geran Kelompok berjumlah RM350,000 bagi membolehkan perkongsian kepakaran, aktiviti sukan dan latihan guru dilaksanakan.
Rafizi berkata, Bersama mempertaruhkan 16 calon daripada pelbagai latar belakang dengan kepakaran serta pengalaman berbeza untuk melaksanakan tawaran manifesto itu sekiranya memperoleh mandat rakyat.