Sidang Kemuncak ASEAN: Malaysia buktikan ASEAN kekal relevan
28 OKT : Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akan melabuhkan tirainya hari ini membuktikan Malaysia selaku tuan rumah berjaya menunaikan amanah dengan tekad yang cemerlang.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata dengan penganjuran ini, Malaysia bukan sahaja membuktikan ASEAN itu kekal relevan tetapi juga menjadi pemain utama dalam membentuk masa depan rantau Indo-Pasifik.
Malah katanya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia telah berjaya memperkukuh kerjasama serantau dan memastikan ASEAN terus berdiri teguh, relevan dan dihormati di persada dunia.
“Insya-Allah, dengan kejayaan sidang ini, Malaysia telah menunaikan amanah sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tekad yang cemerlang. Kita telah membuktikan bahawa, di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan,’ ASEAN bukan sahaja kekal relevan, tetapi juga menjadi pemain utama dalam membentuk masa depan rantau Indo-Pasifik yang stabil, makmur dan adil.
“Malaysia juga ingin menzahirkan sokongan padu kepada Filipina yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan ASEAN. Semoga semangat perpaduan dan kerjasama yang telah dibina di Kuala Lumpur ini akan terus subur dan membawa manfaat yang berkekalan buat seluruh komuniti ASEAN.
“Semoga Allah terus memberkati usaha kita semua dalam mewujudkan keamanan dan kemakmuran serantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Menurut Tunku Nashrul, pada sidang kemuncak semalam terdapat lima persidangan penting dipengerusikan Anwar yang mengangkat pelbagai agenda termasuk ekonomi.
“Dalam Sidang Kemuncak ASEAN– Republik Korea, Malaysia menggesa pengiktirafan Palestin dan menyambut baik Pelan Tindakan Kerjasama 2026–2030 yang akan memperkukuh hubungan serantau.
“Agenda ekonomi turut mendominasi sidang semalam melalui Sidang Kemuncak ASEAN+3 dan Sidang Kemuncak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), yang menekankan kerjasama dalam ekonomi digital, tenaga bersih dan ketahanan rantaian bekalan, memastikan pertumbuhan inklusif di Asia Pasifik,” katanya.
Menurutnya, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) menghimpunkan kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, China, Rusia, Australia, Jepun, India dan New Zealand yang telah diiktiraf sebagai platform utama untuk menangani isu-isu strategik.
“Lebih bermakna, sidang kemuncak ini dimulakan 20 tahun lepas di lokasi sama (KLCC), menandakan keberkesanan forum ini dalam memperkukuh kestabilan serantau,” katanya.
Selain itu katanya, ketika Sidang Kemuncak ASEAN–Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Malaysia memberikan penghargaan kepada pertubuhan dunia itu dalam usaha mencapai proses kedamaian di Palestin selain menyatakan sokongan terhadap segala usaha berkaitan.
Sebelum melabuhkan tirainya hari ini, Anwar akan mengadakan beberapa sesi bilateral dan mempengerusikan beberapa sidang kemuncak.
Ini termasuk Sidang Kemuncak ASEAN–China ke-28, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN–New Zealand dan Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-5.
Katanya, sidang-sidang ini akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama ekonomi, perdagangan dan pembangunan mampan.
“Antara kemuncaknya ialah Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 yang akan memperkukuh hubungan ekonomi serantau.
“Sidang kemuncak hari ini juga akan diakhiri dengan Majlis Penutupan Rasmi dan sesi penyerahan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina,” katanya.
