15 JUN : Dalam era digital yang menyaksikan maklumat tersebar dalam sekelip mata, organisasi media diingatkan agar tidak mengorbankan ketepatan demi mengejar sensasi dan populariti di media sosial.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata wartawan dan organisasi media perlu terus menjadi sumber penyebar maklumat yang sahih kepada orang ramai.
Menurut Nie Ching, perkara itu penting bagi mendepani lambakan maklumat dan penyebaran kandungan tanpa batas melalui media sosial.
“Wartawan perlu memelihara kebenaran dengan keberanian. Tugas media bukan sekadar mengejar sensasi atau kandungan yang mudah menjadi tular, sebaliknya memastikan masyarakat memperoleh maklumat yang tepat bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena perasmian forum, ‘Balancing Virality and Responsibility: Journalism Amid Speed Trust and Impact – ‘An Industry Dialogue’, hari ini.
Mengulas lanjut, Nie Ching berkata kewartawanan yang bertanggungjawab menjadi benteng utama mengekang penularan berita palsu, fitnah serta kandungan mengelirukan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan menghakis keyakinan terhadap institusi negara.
Menurutnya, pengamal media perlu terus menjunjung etika, ketepatan dan akauntabiliti meskipun berdepan persaingan yang semakin sengit dalam landskap media digital.
“Perhatian boleh bermula, perhatian mungkin datang dan pergi, tetapi kepercayaan akan sentiasa kekal sebagai asas kewartawanan yang berkualiti.
“Oleh itu, masa depan kewartawanan tidak boleh ditentukan oleh siapa yang paling tular. Masa depan wartawan mesti ditentukan oleh siapa yang paling dipercayai,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) mampu melaksanakan pelbagai tugas, namun teknologi itu tidak dapat menggantikan pertimbangan manusia serta nilai etika yang menjadi asas kepada profesion kewartawanan.
