28 OKT : Mekanisme terbaik bagi pelaksanaan pengesahan identiti pengguna (eKYC) yang akan mengehadkan umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun akan dibincangkan dengan pihak penyedia platform.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan melibatkan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata eKYC penting untuk memastikan keselamatan kanak-kanak dalam talian.
“Pihak MCMC bersama beberapa jabatan dan agensi akan ke Singapura dalam masa terdekat untuk bertemu wakil Meta, Google, X dan TikTok bagi membincangkan mekanisme terbaik memastikan proses eKYC yang menggunakan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, pasport dan MyDigital ID dapat dilaksanakan dengan selamat.
“Langkah ini juga selaras dengan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi memastikan tiada ketirisan maklumat berlaku.
“Namun yang paling penting adalah aspek keselamatan khususnya bagi kanak-kanak dan keluarga dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Fahmi, eKYC itu seiring pelaksanaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi [ASP(C)] Januari lalu untuk sistem pemesejan Internet dan media sosial serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2024.
Dalam pada itu, Fahmi berkata pihaknya akan terus melaksanakan langkah melesenkan platform media sosial demi menjamin keselamatan dalam talian kanak-kanak.
Beliau menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) berkait mekanisme yang bakal diperkenalkan bagi menetapkan had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan media sosial.