Sidang Kemuncak ASEAN: Malaysia terima ucapan tahniah
 
						
													31 OKT : Malaysia menerima ucapan tahniah atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ucapan tersebut diterima rakan pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC).
Menurut Anwar yang berada di Korea Selatan bagi menghadiri APEC, kejayaan tersebut cerminan keupayaan Malaysia memimpin.
“Saya turut menghargai ucapan tahniah yang disampaikan mereka atas kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 baru-baru ini, satu kejayaan yang mencerminkan keupayaan Malaysia memimpin dengan hikmah dan kesungguhan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebelum menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC 2025 di Gyeongju, hari ini.
Anwar berkata, beliau sempat bertukar pandangan dengan beberapa rakan APEC sebelum mesyuarat itu bermula.
“Kami bertukar pandangan terkait pelbagai isu semasa dan hala tuju serantau.
“Ini termasuk usaha memperkukuh kerjasama ekonomi yang lebih adil dan berdaya tahan,” katanya.
Kepengerusian Malaysia tahun ini menyaksikan pemimpin kuasa-kuasa besar dunia berhimpun di ibu negara termasuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Penganjuran kali ini mencatat beberapa sejarah baharu termasuk pemetraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur antara Kemboja dan Thailand serta penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11.

 
			