Malaysia sasar jadi antara negara peneraju AI
31 OKT : Malaysia komited untuk muncul sebagai antara negara peneraju Kecerdasan Buatan (AI) menjelang 2030.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Pegawai Eksekutif NVIDIA Corporation, Jensen Huang dan Pengarah Urusan YTL Power, Datuk Yeoh Seok Hong.
“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk muncul sebagai antara negara peneraju AI menjelang 2030, bukan sekadar pengguna teknologi, sebaliknya sebagai pencipta nilai dan pemacu inovasi yang merancakkan ekonomi serta mensejahterakan rakyat.
“Membangunkan AI berdaulat adalah langkah penting untuk menjamin kedaulatan digital negara, membina ekosistem yang berasaskan kepercayaan, keselamatan dan tanggungjawab moral.
“Perbincangan kami menzahirkan kemajuan besar Malaysia dalam mengangkat agenda Sovereign AI daripada penubuhan Pejabat AI Kebangsaan dan pelancaran ILMU, hinggalah kejayaan pembinaan pusat data AI bertaraf dunia di Kulai, Johor hasil kolaborasi YTL Power dan NVIDIA,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini susulan pertemuan yang berlangsung di Korea Selatan.
Terdahulu dalam pertemuan pertama di Putrajaya, NVIDIA dan YTL Power mengumumkan pelaburan untuk pembangunan infrakstruktur AI menggunakan tenaga hijau bernilai RM10 billion.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, pelaburan itu memperlihatkan kesungguhan bersama dalam memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia, NVIDIA dan YTL Power ke arah membina masa depan digital yang berdaya saing dan berdaulat.
“Saya merakamkan penghargaan kepada NVIDIA dan YTL atas kemajuan ini, semoga ia mempercepatkan agenda AI Malaysia demi kemaslahatan seluruh rakyat serta masa depan ekonomi MADANI yang inklusif, beretika dan mampan,” katanya.
