3 NOV : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak mengiktiraf ‘Muslim Choice’ yang diperkenalkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata penggunaan Muslim Choice itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Justeru itu katanya, JAKIM memohon agar penggunaan istilah itu dihentikan namun ia masih digunakan pihak berkenaan.
”JAKIM menerima maklumat mengenai sebuah NGO dikenali Muslim Friendly Watch (MFW) yang memperkenalkan pengiktirafan ‘Muslim Choice’ kepada para pengusaha yang menepati syarat dan piawaian yang ditetapkan pertubuhan tersebut dengan tujuan memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk atau premis yang diiktiraf adalah berkualiti, bersih dan selamat serta selari dengan prinsip Islam.
“Jabatan ini telah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 dan telah memaklumkan bahawa pengiktirafan ‘Muslim Choice’ yang dijalankan pertubuhan ini boleh mendatangkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat pengguna serta memohon supaya aktiviti tersebut dihentikan namun berdasarkan aduan daripada pihak berkuasa agama negeri, pihak MFW dikesan masih meneruskan aktiviti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau menegaskan penggunaan istilah seperti ‘Muslim Choice’ atau seumpamanya yang diperkenalkan mana-mana pihak bukanlah suatu perakuan atau penandaan halal diiktiraf pihak berkuasa negara hingga boleh mengelirukan masyarakat berhubung status halal sesuatu produk atau premis.
Menurutnya, berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan Majlis/Jabatan Agama Islam Negeri (MAIN/JAIN) diberi kuasa untuk mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada mana-mana pihak yang diperakukan.
“Sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan oleh orang Islam yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah serta menyalahi peraturan.
“Ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna Muslim,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pihak agar tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan mahu pun ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada JAKIM atau MAIN/JAIN.