5 NOV : Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan standard atau protokol produk halal termasuk dalam Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata Malaysia juga berhak menarik balik pengiktirafan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap dua badan pensijilan halal di AS jika berlaku pelanggaran.
Menurutnya, kedua-dua badan itu diberikan pengiktirafan berdasarkan pematuhan mereka terhadap standard dan protokol halal sedia ada.
“Jadi apabila audit yang dijalankan oleh Jakim kepada dua badan pensijilan ini, kalau berlaku sebarang pelanggaran Jakim boleh tarik balik pengiktirafan kepada badan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Na’im berkata Perkara 2.5 dalam perjanjian ART menyatakan mana-mana badan persijilan halal luar negara termasuk dari AS tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur syariah dan standard halal Malaysia.
“Ia hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf JAKIM bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan.
“Namun, semua proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir berada sepenuhnya di bawah kawalan JAKIM,” katanya.