Rombakan Kabinet: Apa kata PM
7 NOV : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil sikap mengunci mulut apabila spekulasi rombakan Kabinet timbul semula.
Ketika didekati pemberita, Anwar secara berseloroh meminta pihak media mengemukakan cadangan senarai bakal menteri Kabinet yang baharu untuk dipertimbangkan.
“Tolong bagi cadangan kalau ada,” katanya ringkas ketika selesai merasmikan Majlis Penutup Festival Idea Putrajaya (FOI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Terdahulu, dalam majlis sama, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir memberi bayangan seolah-olah rombakan Kabinet akan berlaku dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi.
Menurutnya, sokongan Anwar sangat diharapkan untuk penganjuran festival berkenaan bagi tahun-tahun akan datang meskipun nasib beliau sebagai Menteri Kabinet tidak diketahui.
“Jadi, sekali lagi saya berharap sokongan daripada Perdana Menteri yang tidak berbelah bahagi untuk tahun-tahun yang akan datang.
“Sama ada saya masih menjadi menteri Kabinet atau pun tidak, itu soal nombor dua. Ini adalah agenda negara.
“PM (Anwar) senyum saja bagi isyarat, sebab saya pun tak lama dua tiga minggu saja lagi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup FOI.
Zambry yang juga Setiausaha Agung BN mengangkat sumpah sebagai Senator pada 2 Disember 2022 di Istana Negara sebelum dilantik sebagai Menteri Pertahanan dan seterusnya sebagai Menteri Pendidikan Tinggi.
Turut mengangkat sumpah pada tarikh sama ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
