9 NOV: Datuk Ewon Benedick mengumumkan peletakan jawatannya sebagai anggota Kabinet Persekutuan atas dasar prinsip dan pendirian berkaitan pelaksanaan hak 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ituberkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti penghakiman bertulis oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid, berhubung Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).
Katanya, Beliau tidak bersetuju terhadap pendirian dan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes berkenaan, yang menurutnya “mengabaikan sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia serta syarat-syarat persetujuan Sabah menyertai Malaysia seperti termaktub dalam dokumen-dokumen asas Perlembagaan.”
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka.
“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu malam.
Jelas Ahli Parlimen Penampang itu, surat rasmi peletakan jawatan akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.