Pelihara kesatuan, perpaduan negara : PM Anwar
12 NOV : Rakyat Malaysia diingatkan agar terus memelihara kesatuan dan perpaduan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata apa yang sudah dibina sehingga hari ini perlu dipertahan dengan penuh iltizam.
“Sewaktu berucap pada Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara (SPAPN) 2025, saya menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kita semua termasuk penjawat awam untuk terus memelihara kesatuan dan perpaduan negara.
“Pesanan saya, jangan sekali-kali meruntuhkan apa yang telah kita bina bersama kerana kestabilan dan keharmonian yang kita nikmati hari ini hanya akan kekal jika kita terus mempertahankannya dengan penuh iltizam, tanggungjawab dan keikhlasan,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam satu kenyataan selepas merasmikan SPAPN 2025, hari ini.
Menurut Anwar, perjalanan untuk membina sebuah negara yang hebat bukanlah sesuatu yang mudah dan harus diingat bahawa cabaran serta ujian akan sentiasa datang silih berganti.
“Itulah lumrah perjuangan dalam usaha membangunkan bangsa dan negara.
“Penjawat awam juga perlu sentiasa berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan, tidak berpuas hati dengan pencapaian sedia ada, serta memperkukuh nilai amanah, integriti dan dedikasi dalam setiap pelaksanaan tugas,” katanya.
