KENYATAAN MEDIA
UNIT PENYELARASAN LONJAKAN PRESTASI (PACU)
Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) akan menganjurkan Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 (Program Rancakkan MADANI) mulai 5 hingga 7 Disember 2025 bertempat di pekarangan Dataran Putrajaya, Putrajaya.
Program berskala nasional ini bertujuan memaparkan pencapaian, kemajuan dasar serta keberhasilan inisiatif 2025 secara telus dan terus kepada rakyat. Penganjuran ini memberi peluang kepada rakyat memahami dengan lebih jelas hala tuju serta matlamat kerajaan, di samping melihat bagaimana pelaksanaan pelbagai inisiatif memberi manfaat kepada komuniti dan sektor ekonomi.
Pada masa yang sama, program ini berfungsi sebagai platform untuk mempromosikan dan menyebar luas Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), bagi membolehkan masyarakat menilai sendiri usaha pembaharuan yang sedang digerakkan oleh kerajaan dalam memperkukuh mutu penyampaian Perkhidmatan Awam. Melalui pendekatan Associated and Integrated Strategy, ARPA digerakkan bagi memastikan Perkhidmatan Awam kekal cekap, berintegriti dan benar-benar berfokus kepada keperluan rakyat, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Program Rancakkan MADANI turut menjadi platform mempertemukan rakyat dengan pemimpin negara. Kehadiran Perdana Menteri, jemaah menteri serta pimpinan tertinggi kerajaan sepanjang program membuka ruang untuk beramah mesra, mendengar pandangan rakyat dan memahami keperluan masyarakat secara lebih dekat, sekali gus memperkukuh hubungan yang lebih erat antara kerajaan dan rakyat.
Selain itu, buat julung kalinya, program selama tiga hari ini bakal menghimpunkan pelbagai inisiatif dan program utama kerajaan melalui lapan segmen utama di bawah satu bumbung. Pengisian ini termasuk Produk Rakyat MADANI, Kesejahteraan Rakyat MADANI, Kepengerusian ASEAN dan hubungan antarabangsa, Ukhuwah Rakyat MADANI, Belia MADANI, Tahun Melawat Malaysia 2026 serta ARPA. Keseluruhan segmen ini dirangka bagi memaparkan ekosistem dasar kerajaan secara lebih holistik, mudah diakses dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Selain daripada pelbagai perkhidmatan secara langsung yang ditawarkan oleh kementerian/agensi, pelbagai aktiviti menarik turut menanti para pengunjung seisi keluarga termasuk pameran aset pertahanan, perkhidmatan kesihatan, pembudayaan komponen TVET dan STEM AI, karnival kerjaya, mini karnival pelancongan, penukaran topi keledar percuma, pesta buku, pertunjukan kucing, Jualan Rahmah termasuk Jualan Kembali ke Sekolah, agro dan barangan sukan, Fiesta Coffee, agihan biji benih dan anak pokok, perkhidmatan tukar minyak enjin motosikal percuma, gunting rambut percuma, pertandingan sukan jalanan, e-sukan serta deretan trak makanan yang menawarkan pelbagai pilihan makanan.
Seiring dengan itu, Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2025 akan turut berlangsung sebagai salah satu komponen utama program dengan menampilkan ucaptama oleh kedua-dua YAB Timbalan Perdana Menteri serta siri forum yang menghimpunkan barisan panel yang terdiri daripada tokoh dan pemimpin merentas pelbagai sektor. Konvensyen ini diadakan bagi membuka ruang perbincangan yang lebih
komprehensif mengenai hala tuju dan masa depan reformasi perkhidmatan awam.
Majlis perasmian penutupan pada hari terakhir akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, diikuti sesi townhall sebagai wadah dialog terbuka antara pimpinan negara dan masyarakat. YAB Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan sesi walkabout di sekitar tapak program untuk bertemu dan berinteraksi secara dekat dengan para pengunjung yang hadir.
Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang telah menjadi tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI secara terus kepada rakyat, sekali gus menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan penyampaian pelaporan prestasi secara berkala yang telus, terbuka dan sentiasa berpaksikan rakyat.
Orang ramai dijemput hadir bagi memanfaatkan pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan serta menyertai aktiviti-aktiviti menarik sepanjang program ini. Program akan berlangsung mulai pukul 9.00 pagi hingga 10.00 malam pada hari Jumaat dan Sabtu, manakala pada hari Ahad dari pukul 9.00 pagi hingga 6.00 petang. Jumpa anda di sana!
UNIT PENYELARASAN LONJAKAN PRESTASI (PACU)
PEJABAT PERDANA MENTERI