KENYATAAN MEDIA
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA
1. Penerangan UMNO Malaysia merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua 79 calon yang telah mengemukakan kertas penamaan bagi 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada hari ini. Kesediaan untuk tampil menawarkan khidmat kepada rakyat merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang wajar dihormati, tanpa mengira parti atau perbezaan pendirian politik.
2. Secara khusus, saya mengucapkan tahniah kepada 23 calon Barisan Nasional (BN), terdiri daripada 18 calon UMNO, empat calon MCA dan seorang calon MIC, serta lima calon rakan kerjasama daripada Perikatan Nasional. Dengan seorang calon bagi setiap kerusi yang dipersetujui, rakyat Melaka diberikan pilihan yang jelas untuk menentukan kepimpinan dan hala tuju negeri ini.
3. Saya turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kelancaran proses penamaan calon. Tiada kertas penamaan yang ditolak, semua 28 kerusi menyaksikan pertandingan dan proses di kesemua pusat penamaan calon berlangsung dalam suasana aman serta terkawal. Keadaan ini mencerminkan komitmen semua pihak dalam memelihara proses demokrasi dan menjadi permulaan yang baik bagi tempoh berkempen selama 14 hari.
4. Sepanjang tempoh berkempen ini, saya menyeru semua calon, jentera dan penyokong parti agar berkempen secara adil, matang dan bermaruah. Patuhi undang-undang pilihan raya serta peraturan SPR, hormati perbezaan pendapat dan jauhi sebarang provokasi yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R). Pilihan raya seharusnya menjadi medan persaingan idea, dasar dan tawaran khidmat, bukannya ruang untuk mencetuskan permusuhan serta perpecahan dalam kalangan rakyat.
5. Kepada seluruh Jentera Penerangan UMNO di semua peringkat, termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri, saya ingin memberikan penekanan khusus terhadap pengukuhan kempen komunikasi digital dan media sosial. Dalam landskap politik hari ini, media sosial menjadi antara saluran utama pengundi mendapatkan maklumat dan membentuk pandangan. Dengan 43.6 peratus pengundi Melaka berusia antara 21 hingga 40 tahun, pendekatan komunikasi kita perlu lebih dinamik, kreatif dan dekat dengan kelompok pengundi muda. Pastikan ruang digital dipenuhi maklumat yang tepat, kandungan yang menarik serta penjelasan yang berfakta dan berhemah.
6. Dalam masa yang sama, orang ramai perlu lebih berwaspada terhadap cabaran dalam ekosistem digital, termasuk penggunaan akaun automatik atau bot untuk menyebarkan naratif secara berulang dan berskala besar, dakwaan sekatan capaian atau shadow ban, serta penurunan kandungan oleh platform digital. Sebarang dakwaan sedemikian perlu dinilai berdasarkan bukti dan maklumat yang sahih. Jangan mudah terpengaruh dengan jumlah tanda suka, komen atau perkongsian yang luar biasa. Semak sumber, teliti fakta dan fikir sebelum berkongsi.
7. Sekiranya terdapat kandungan yang disyaki mengandungi berita palsu, fitnah, penyamaran identiti atau pelanggaran berkaitan sensitiviti 3R, orang ramai disaran membuat aduan melalui saluran rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Kesalahan pilihan raya pula boleh dilaporkan kepada SPR, PDRM atau SPRM mengikut bidang kuasa masing-masing. Bagi kandungan yang diturunkan oleh platform digital, pengguna boleh menggunakan saluran rayuan yang disediakan oleh platform berkenaan. Simpan segala bukti berkaitan, termasuk tangkap layar, pautan dan maklumat masa, supaya sebarang aduan dapat diteliti dengan sewajarnya.
8. Saya ingin menegaskan bahawa pendirian Barisan Nasional adalah jelas: kempen kita mesti berteraskan calon, rekod perkhidmatan, manifesto dan tawaran penyelesaian kepada rakyat. Kita mahu rakyat menilai keupayaan, pengalaman serta perancangan calon untuk membawa Melaka ke hadapan. Barisan Nasional tidak akan terlibat dalam kempen hitam atau black PR. Kita mahu mendapatkan mandat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan dengan menjatuhkan pihak lain. Rakyat Melaka berhak membuat pilihan berdasarkan fakta, bukan fitnah atau sentimen kebencian.

9. Justeru, saya menyeru seluruh anggota Jentera Penerangan UMNO supaya memainkan peranan aktif dalam memperluas capaian mesej dan kandungan rasmi calon-calon Barisan Nasional di media sosial. Ikuti akaun rasmi calon, tonton, berikan tanda suka, tinggalkan komen yang membina dan kongsikan kandungan mereka. Setiap interaksi yang tulen dan organik membantu memperluas penyampaian maklumat kepada lebih ramai pengundi. Laksanakan tanggungjawab ini melalui akaun sebenar, dengan bahasa yang sopan dan berfakta, tanpa serangan peribadi atau tindakan yang boleh mencemarkan imej parti.
10. Akhir kata, saya menyeru seluruh rakyat Melaka agar menilai setiap calon dan tawaran yang dikemukakan secara rasional, matang serta berasaskan fakta. Tunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dengan keluar mengundi pada 14 November 2026, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November 2026.
Barisan Nasional akan terus komited untuk berkhidmat kepada rakyat Melaka dengan penuh hormat, berhemah dan bertanggungjawab.
BERTANDING DENGAN BERMARUAH. BERKEMPEN DENGAN BERHEMAH. BERKHIDMAT UNTUK RAKYAT.
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
KETUA PENERANGAN UMNO MALAYSIA