2 DIS : Seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Pejabat Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang ditahan ketika serbuan polis terhadap sebuah pusat sauna dipercayai menjadi tumpuan kegiatan songsang diarah meletakkan jawatan serta-merta.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud dalam satu kenyataan menegaskan kementeriannya juga mengambil beberapa tindakan tegas bagi memastikan integriti perkhidmatan awam terus terpelihara dalam perkara itu.
“Saya mengambil maklum laporan berhubung penahanan salah seorang PTD yang berkhidmat di pejabat saya oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
“Tindakan serta-merta yang telah dilaksanakan ialah pegawai berkenaan telah diarahkan meletakkan jawatan serta merta daripada pejabat Timbalan Menteri.
“Unit Integriti KPT telah memulakan siasatan dalaman ke arah tindakan tatatertib mengikut ketetapan peraturan perkhidmatan,” katanya.
Selain itu, pihaknya juga menegaskan tiada sesiapa yang dikecualikan daripada proses undang-undang dan tatakelola.
“Sebarang tindakan lanjut akan diputuskan berdasarkan hasil siasatan Unit Integriti serta kerjasama dengan pihak berkuasa.
“Sebagai Timbalan Menteri, saya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan dan menyeru semua pihak agar tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan integriti penyiasatan,” katanya.
Jumaat lalu, 17 penjawat awam antara 208 individu ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kita di mana kesemuanya berusia dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun.
Turut ditahan dalam serbuan itu adalah guru, doktor dan timbalan Pendakwa Raya serta pegawai agensi penguatkuasaan.