5 DIS : Kerajaan Persekutuan sebelum ini sudah melunaskan semua keperluan kewangan yang berkait isu tanah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Terengganu.
Namun Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata timbul kekeliruan berkait status urusan tanah ekoran kerajaan negeri didakwa belum melaksanakan beberapa tindakan susulan tanah berkenaan.
Justeru itu katanya, perbincangan antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Kerajaan Negeri Terengganu akan dilaksanakan segera.
“Petang ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan akan mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Terengganu bagi memastikan semua komitmen yang telah dilunaskan oleh Kerajaan Persekutuan dapat disusuli segera oleh pihak negeri. Ini sangat penting.
“Perbincangan berkenaan dijangka memberi penyelesaian lebih jelas terhadap isu-isu berkaitan tanah Felda yang masih tertangguh,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis Sambutan Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Ahad lalu, FGV dilapor diberi tempoh tiga hari untuk mengeluarkan aset boleh alih dan mengosongkan premis susulan notis larangan menceroboh tanah terhadap 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar di Terengganu.
Notis tersebut diserah secara serentak kepada pihak pengurusan 10 ladang FGV di daerah Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun serta Hulu Terengganu.
FELDA dilaporkan gagal memberi maklum balas terhadap tuntutan pembayaran hasil keuntungan 30 peratus tanah milik kerajaan negeri yang diterokai sejak 40 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Datuk Azman Ibrahim berkata tempoh rundingan yang berlarutan sejak 40 tahun lalu sudah berakhir.