6 DIS : Kerajaan Persekutuan bersiap sedia memasuki fasa rundingan penting tuntutan 40 peratus hasil Sabah di mana mesyuarat pertama mengenainya dijangka berlangsung pertengahan Januari depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata dasar pelaksanaan tuntutan itu sudah dimuktamadkan dan Kerajaan Persekutuan komited memastikan ia direalisasikan sebaik proses teknikal selesai.
Beliau berkata mesyuarat awal di peringkat jawatankuasa teknikal sudah pun dijalankan bulan lalu antara Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dengan pertemuan seterusnya dijangka memperincikan kaedah pelaksanaan.
“Jadi mungkin mesyuarat pertama itu kita buat sebelum pertengahan Januari tahun depan mengenai kaedah, parameter supaya betul-betul memberi keyakinan kepada rakyat Sabah.
“Ini bukan soal cari dalil, tentunya dalam musim pilihan raya sebelum ini dan juga kadang-kadang sesetengah pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang sinis, kita buat apapun mereka terus sinis.
“Tapi saya nak beritahu, rakan-rakan saya dari jemaah menteri pun ada bahawa kita harus lihat secara tertentu. Saya tak boleh kata kita serah pada Januari, kita ‘clear parametersnya’ dulu, jumlahnya dan berapa peringkat pembayaran dalam setahun,” kata Anwar.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Negeri Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
Menurutnya, segala penetapan teknikal akan dibawa ke peringkat jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada Jemaah Menteri Sabah dan Persekutuan.
“Semua itu kita akan serahkan kepada jawatankuasa teknikal, kemudian jawatankuasa persekutuan-negeri sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri Sabah dan Jemaah Menteri Persekutuan.
“Tapi apa yang sudah muktamad ialah kerajaan Persekutuan seperti mana yang saya sebut dalam Jemaah Menteri dan di Parlimen tetap komited untuk menyerahkannya kepada Sabah,” katanya
Menurut Anwar, rundingan bagi bulan ini tidak sempat diadakan berikutan kekangan masa dan keperluan mengisi empat kekosongan jawatan Menteri Persekutuan.
“Mungkin bulan ini agak suntuk sedikit kerana kita ada kekosongan empat (menteri) sekarang, paling akhir Ewon, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz dengan tamat Senatornya dan dua daripada yang sebelumnya, jadi empat yang patut saya isi.
“Jadi beri ruang kepada saya satu ke dua minggu ini memikir dan berbincang dengan ketua parti termasuk dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji untuk mendengar pandangan mereka sebelum saya muktamadkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata isu-isu lain di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan diteruskan melalui majlis yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Belum ada dalam sejarah penubuhan Malaysia, kita ada komitmen dan pelaksanaan jauh lebih cepat iaitu sebanyak sembilan perkara telah kita putuskan.
“Ada beberapa yang lain lagi kita akan rujuk dan bawa kemudian kepada Premier Sarawak dan Ketua Menteri Sabah dan luluskan untuk pertimbangan Jemaah Menteri dan Parlimen sekiranya perlu pindaan undang-undang.
“Penyerahan kuasa elektrik kepada Sabah sebelum ini terpaksa dilakukan dengan meminda undang-undang, begitu juga soal wakil dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga membabitkan pindaan undang-undang Parlimen, itu semua kita boleh lakukan,” katanya.