UEC: PM tolak tuntutan menjurus 1 kaum, 1 bahasa
12 DIS : Bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi negara ini yang perlu dipertahankan sejajar prinsip Perlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini bertegas menolak tuntutan yang menjurus kepada satu kaum dan bahasa semata-mata.
“Saya nak jelaskan, saya tak peduli siapa dia, parti mana, pengaruh mana, kalau saya mahu didukung sebagai perdana menteri, saya mesti pertahankan prinsip Perlembagaan. Apa dia berbeda? Berbeda adalah tuntutan itu menjurus kepada satu kaum dan satu bahasa. Itu saya tidak setuju sama sekali.
“Bawa dulu mesej, pertahankan martabat bahasa kebangsaan kemudian rangkul sekali keperluan penguasaan bahasa yang lain. Itu kita boleh terima,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nur al-Hidayah, Kuah di Langkawi, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar mengingatkan semua pihak yang terbabit bahawa bahasa Melayu itu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang perlu dikuasai rakyat Malaysia.
“Saya nak jelaskan begini. Ini Malaysia. Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi dan siapa pun dalam percubaan mereka untuk membawa mesej sesuatu bahasa, mesti ingat bahawa bahasa rasmi iaitu bahasa Melayu harus diangkat sebagai bahasa ilmu yang dikuasai oleh semua rakyat Malaysia. Itu kita noktahkan, jelaskan.
“Kalau ini sudah jelas, nak bangkitkan soal keperluan peningkatan penggunaan bahasa Inggeris saya setuju. “Tetapi bahasa Melayu…bahasa bidang teknologi baharu, bahasa AI (kecerdasan buatan)…itu bahasa ilmu. Itu mesti dimanfaatkan dan penguasaan harus baik dalam kalangan rakyat. Semua aliran. Saya tak kira Cina, Tamil, Inggeris. Mesti menguasai bahasa Melayu dan ini juga syarat yang kita kenakan untuk sekolah-sekolah international. Mesti lulus dan menguasai bahasa Melayu. Jangan pertikai,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi peringatan kepada mana-mana pihak yang mahu mengemukakan tuntutan agar mematuhi prinsip Perlembagaan negara ini.
“Jadi saya ingin mengingatkan mana-mana kaum, parti, mahu kemukakan tuntutan tiada masalah tapi perlu diingatkan sebagai rakyat yang mematuhi prinsip Perlembagaan harus mula dengan menegaskan keutamaan penguasaan bahasa Melayu. Kemudian saya setuju untuk mengangkat bhasa-bahsa lain.
“Apakah keperluan penguasaan bahasa Inggeris lebih baik? Jawabnya ya. Apakah keperluan mengajar bahasa Inggeris dalam beberapa bidang baharu di sekolah, di universiti…ya. apakah keperluan tingkatkan penguasaan bahasa Cina di beberapa kursus di universiti? Tiada masalah. Termasuk Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC)
“Tetapi apabila naratif atau wacana itu menjurus kepada satu bahasa, satu kaum dan meninggalkan perbincangan soal bahasa utama negara kita, ini yang menjadi masalah,” katnaya.
Justeru itu, beliau menyeru semua pihak agar lebih bertanggungjawab dalam mengemukakan sebarang tuntutan.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming dilaporkan akan bertemu Anwar untuk berbincang isu pengiktirafan UEC.
