22 DIS : Sudah tiba masanya UMNO memperhalusi kembali kerjasama politik yang terjalin dengan pihak yang tidak menghargai parti itu.
Demikian kenyataan terbaharu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki susulan hantaran yang dimuat naik Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin berkait keputusan mahkamah terhadap bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
“Kenyataan Yeo Bee Yin yang juga merupakan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP ini adalah amat kurang ajar, melampau dan langsung tidak berperikemanusian.
“Jika tidak mampu untuk menzahirkan sekelumit perasaan simpati sekalipun, janganlah mengeluarkan kenyataan kurang ajar dan menyakitkan hati.
“Apatah lagi yang dihina merupakan bekas pemimpin tertinggi yang amat disayangi oleh seluruh keluarga besar UMNO yang hari ini membantu membentuk Kerajaan Perpaduan.
“Mungkin sudah tiba masanya untuk UMNO memperhalusi kembali kerjasama yang terjalin jika masih ada pihak yang tidak mahu menghargai sumbangan dan perjuangan UMNO selama ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook sambil berkongsi tangkap layar kenyataan bekas Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim itu.
Bee Yin dalam hantaran di akaun media sosialnya menulis ‘Another reason to celebrate this year end’ (satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini) dan berkongsi pautan berita bertajuk ‘No house arrest for Najib’ (tiada tahanan rumah untuk Najib).

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan pelaksanaan Titah Adendum bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Hakim Datuk Alice Loke Yee Ching ketika membacakan keputusannya berkata titah itu tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 pada 29 Januari, tahun lalu.