Titah Adendum: Saluran perundangan masih tersedia
23 DIS : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua pihak wajar menghormati keputusan mahkamah terhadap Datuk Seri Najib Razak berkait Titah Adendum.
Menurutnya, rayuan boleh dikemukakan menggunakan saluran perundangan yang dibenarkan.
Beliau menegaskan komitmen penuh Kerajaan MADANI terhadap prinsip kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman susulan keputusan itu.
“Saya ingin merujuk kepada penghakiman berhubung isu Titah Adendum yang diputuskan semalam. Ingin ditegaskan Kerajaan MADANI kekal berpegang teguh kepada prinsip penegakan negara hukum serta pengasingan kuasa.
“Badan kehakiman mesti dan akan terus bebas daripada sebarang pengaruh luar. Atas prinsip inilah saya menghormati keputusan yang telah dibuat hakim.
“Maka, atas prinsip kedaulatan undang-undang, semua pihak wajar menghormati keputusan yang dibuat hakim termasuk ruang dan saluran perundangan yang masih tersedia untuk mengemukakan rayuan, selain kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan peruntukan undang-undang yang ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Dalam masa sama, Anwar menggesa semua pihak agar menangani isu berkenaan dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran, khususnya dalam suasana yang sensitif.
Beliau turut menegur mana-mana pihak yang ‘gembira’ dengan keputusan mahkamah itu agar tidak mengeruhkan keadaan.
“Saya menyeru semua pihak agar menangani isu ini dengan penuh sabar dan bijaksana.
“Sekalipun ada pihak yang memilih untuk tidak menzahirkan simpati kepada Datuk Sri Najib Razak dan keluarganya, adalah tidak wajar untuk mengeruhkan suasana atau menambah ketegangan dalam keadaan yang sensitif ini,” katanya.