Kestabilan dasar, reformasi berani pacu kejayaan Kerajaan MADANI
29 DIS : Kejayaan Kerajaan MADANI setakat ini merupakan hasil gabungan kestabilan dasar, keberanian melaksanakan reformasi serta kepercayaan berterusan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha memperkukuh ekonomi negara terus digerakkan melalui pelaburan berkualiti, peluang pekerjaan dan agenda pertumbuhan yang inklusif.
“Kejayaan Kerajaan MADANI hari ini adalah hasil kestabilan dasar, keberanian reformasi dan kepercayaan rakyat.
“Di dalam negara, ekonomi terus diperkukuh melalui pelaburan berkualiti, penciptaan peluang pekerjaan dan agenda pertumbuhan yang inklusif,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Ahad.
Malah katanya, di peringkat antarabangsa, hubungan diplomatik dan kerjasama dengan pelbagai negara serta kumpulan pemimpin dunia terus membuka ruang pelaburan baharu sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia di persada global.
“Malah, di peringkat antarabangsa, hubungan antara kerajaan, pelbagai negara, kumpulan pemimpin, membuka ruang pelaburan strategik serta memperkukuh kedudukan Malaysia di mata dunia,” katanya.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kejayaan yang dicapai kerajaan tidak hanya diukur melalui angka dan statistik semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat.
“Segala pencapaian ini bukan sekadar angka dan statistik tetapi diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat, daripada kesejahteraan keluarga, peluang ekonomi baharu hingga jaminan masa depan yang lebih berdaya tahan.”
Justeru itu, beliau percaya dengan sokongan padu keluarga, sahabat dan rakyat Malaysia, Kerajaan MADANI akan terus melangkah ke hadapan, berkhidmat dengan amanah serta membina negara yang adil, makmur juga berdaya saing untuk semua.
