Kerajaan tambah baik SARA, kini disertai 10,000 kedai
16 JAN : Kerajaan melakukan penambahbaikan kepada program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dengan memperluaskan penyertaan kedai-kedai kecil kepada 10,000 premis di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penambahbaikan itu bagi memastikan rakyat dapat memenuhi keperluan asas mereka dengan lebih tersusun.
“Seperti yang telah saya janjikan, bermula hari ini, seramai 3.1 juta individu bujang akan menerima manfaat Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dikreditkan secara terus ke dalam MyKad masing-masing.
Langkah penambahbaikan SARA ini digubal dengan penuh iltizam bagi memastikan rakyat dapat memenuhi keperluan asas secara lebih tersusun, lebih bersasar dan lebih berterusan, sejajar dengan tekad Kerajaan MADANI untuk meringankan beban kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat.
Lebih daripada sekadar bantuan tunai, inisiatif ini turut memberi nafas baharu kepada ekonomi tempatan. Penyertaan kedai-kedai kecil dalam rangkaian SARA diperluaskan kepada 10,000 premis di seluruh negara, agar kekayaan negara tidak berlegar di pusat semata-mata, tetapi mengalir kembali kepada peniaga kecil di bandar, di pekan dan di desa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena pengagihan bantuan SARA kepada 3.1 juta golongan bujang yang layak, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan pentadbirannya akan memastikan tiada rakyat yang tercicir.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan terus memastikan tiada rakyat yang tercicir dan tiada yang terpinggir dalam usaha memenuhi keperluan asas kehidupan mereka.
“Inilah semangat MADANI yakni kita berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, melangkah bersama membina masa depan negara berteraskan keadilan, kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua, selaras dengan aspirasi Kerangka Ekonomi MADANI,” katanya.