17 JAN : Semakin banyak negara yang mengikuti jejak langkah Australia mengenakan sekatan terhadap pengguna di bawah usia 16 tahun.
Di Australia, undang-undang larangan akses untuk remaja bawah 16 tahun itu di semua platform media sosial dikuat kuasa, 10 Disember tahun lalu.
Metaa, pemilik Facebook memaklumkan 550,000 akaun dinyahaktifkan susulan perubahan itu melibatkan 330,000 di Instagram, 173,000 di Facebook dan 39,000 di Threads.
Sekatan itu melibatkan sekitar 10 platform termasuk X, Instagram, Facebook, TikTok, YouTube, Snapchat, Reddit, Twitch, Threads dan Kick.
Beberapa negara Eropah mengambil tindakan serupa termasuk Denmark dan Sepanyol.
Denmark menandatangani resolusi 7 November lalu bagi mengenakan larangan terhadap pengguna di bawah 15 tahun daripada mengakses media sosial.
Sepanyol menaikkan umur bagi persetujuan perlindungan data daripada 14 kepada 16 tahun, manakala Perancis dan Norway sudah mula mengenakan had yang dikaitkan dengan tahap kematangan digital.
Sementara di Turkiye, Perhimpunan Agung Kebangsaan sedang membincangkan kemungkinan untuk melarang penggunaan media sosial oleh kanak-kanak bawah 15 tahun, menurut Anadolu Ajansi.
Satu draf rang undang-undang mengenai peraturan media sosial untuk kanak-kanak bawah 15 tahun dijangka diserahkan kepada jawatankuasa Parlimen berkaitan menjelang akhir Januari.
China pula mengikut model berbeza dengan mengekalkan satu daripada sistem kawalan digital paling ketat di dunia.
Kanak-kanak bawah 18 tahun tertakluk kepada sekatan penggunaan aplikasi data mudah alih, termasuk had akses kepada aplikasi tertentu pada waktu khusus selain hanya dibenarkan melihat kandungan yang diluluskan Pentadbiran Ruang Siber China sebagai menyokong perkembangan fizikal dan mental.
Pengguna berumur 16 hingga 17 tahun dibenarkan menggunakan aplikasi sehingga dua jam sehari, mereka berumur lapan hingga 15 tahun dibenarkan selama satu jam, manakala kanak-kanak bawah lapan tahun hanya 40 minit.
Versi TikTok di China, Douyin mengaktifkan mod kanak-kanak untuk pengguna bawah 14 tahun, yang mengutamakan kandungan pendidikan seperti eksperimen sains dan pameran muzium.
Kebanyakan platform media sosial utama yang berpangkalan di AS dilarang di China.