23 JAN : Kerajaan menafikan laporan yang mendakwa Malaysia memberi 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan untuk tiga kampung kawasan Nunukan berdekatan sempadan Sabah-Kalimantan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata laporan tersebut tidak tepat.
Jelasnya, pengukuran sempadan darat membabitkan tiga kampung di Kalimantan Utara, Indonesia itu dimuktamadkan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimetrai 18 Februari 2025 selepas Malaysia dan Indonesia melalui proses perundingan teknikal yang komprehensif selama lebih 45 tahun.
“Rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan masalah sempadan tertunggak (OBP) dilaksanakan secara harmoni di antara kedua-dua negara dan tidak bersandarkan kepada prinsip timbal balik, pampasan atau untung rugi.
“Keputusan itu dicapai melalui proses teknikal yang panjang membabitkan pakar daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan” katanya.
Menurut Arthur, pengiktirafan itu lebih signifikan berbanding daripada mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai keabsahan undang-undang.
“Keuntungan jangka panjang kedaulatan negara adalah lebih strategik bagi Malaysia untuk memiliki sempadan yang diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa,” katanya.