Penilaian Tahun 4 mampu kesan kelemahan murid lebih awal
24 JAN : Penilaian pembelajaran Tahun 4 membolehkan kelemahan murid dikenal pasti lebih awal dalam membaca, menulis dan mengira.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penambahbaikan dalam Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 ang diumum Selasa lalu itu dapat memastikan intervensi dan pemulihan dilaksanakan lebih awal.
Menurut Anwar, RPN 2026-2035 dirangka bagi memastikan sistem pendidikan negara lebih bersedia melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berdaya saing merangkumi pelbagai bidang termasuk teknologi digital juga kecerdasan buatan (AI).
“Dasar pendidikan negara yang baharu memberi penekanan kepada peningkatan mutu pendidikan demi menjamin masa depan anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut menyediakan kemudahan prasekolah secara percuma di sekolah-sekolah bagi memastikan anak-anak mendapat asas pendidikan mencukupi sejak dini.
Beliau turut mengingatkan isu pendidikan tidak dipolemikkan hingga memecah-belahkan masyarakat.
Selain itu, Anwar menyatakan kesediaan kerajaan untuk memberi ruang kepada aliran pendidikan lain seperti sekolah agama, sekolah antarabangsa dan aliran bahasa namun mesti menguasai bahasa Melayu serta memahami sejarah Malaysia.
“Pada masa sama, sistem pendidikan bukan sahaja perlu menekankan penguasaan teknologi dan kemahiran baharu, malah berperanan membentuk insan yang mempunyai nilai kemanusiaan, saling menghormati antara kaum serta memahami kepelbagaian budaya di Malaysia,” katanya.
