26 JAN : Sistem audit negara perlu diperkukuh melalui penubuhan pasukan khas bagi mengelakkan berlakunya sebarang kebocoran dana awam di semua peringkat kerajaan.
Perkara itu antara syor dikemukakan kepada Jabatan Audit Negara supaya pengauditan lebih memberi kesan menyeluruh.
“Mesti ada satu keresahan yang secara positif bagaimana untuk memperbaiki.
“Jadi kita harus ada pasukan yang selalu memikir, merenung, mencari jalan untuk memperbaiki mana-mana ruang yang memungkinkan kebocoran berlaku, ruang yang memungkinkan tindakan itu agak lebih perlahan daripada biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Sambutan 120 Tahun Jabatan Audit Negara, hari ini.
Menurtu Anwar, kerja pengauditan bukan lagi sekadar amalan rutin yang dibuat setiap tahun.
Tegasnya, ia perlu dijalankan berorientasi kepada impak maksimum dan mesti memberi hasil lebih berkesan.
Selain itu katanya, proses audit itu juga perlu dijalankan secara segera, pantas, tepat dan telus bagi mengelakkan lebih banyak ruang kebocoran.
“Kita tak boleh remehkan bagaimana audit itu dianggap kurang membebankan rakyat dan boleh mendekati mereka.
“Bagaimana boleh kita perkenalkan sistem baharu yang tidak dirasa terlalu mendekat dan terlalu mempersulitkan rakyat ini menuntut ketua audit dan seluruh keluarga jabatan untuk mendekati memahami dan cuba menyatuni rakyat,” katanya.